Kebenaran aktiviti ziarah bukan tiket adakan rumah terbuka — Abdul Karim

Kelihatan Abdul Karim (dua dari kiri) mengagihkan bubur pedas kepada orang ramai dekat pekan Asajaya.

ASAJAYA, 5 Mei: Kebenaran untuk aktiviti ziarah-menziarahi ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan bermaksud ia membolehkan aktiviti rumah terbuka diadakan.

Menteri Perlancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman hamzah berkata, kebenaran itu hanya diberikan bagi tujuan menziarahi keluarga terdekat sahaja tanpa melibatkan kehadiran tetamu lain.

Katanya, kebenaran bagi aktiviti tersebut pada sambutan Hari Raya berkenaan bukan tiket untuk pemilik rumah atau mana-mana individu untuk mengadakan aktiviti rumah terbuka pada hari perayaan terbabit.


“Saya tahu ada perkara ini ada menjadi perbincangan dalam Facebook dan sebagainya, kenapa dibenarkan tujuh hari rumah terbuka. Sebenarnya bukan rumah terbuka tetapi menziarahi keluarga terdekat sahaja,” katanya ketika ditemui selepas aktiviti mengagihkan bubur pedas kepada pengguna jalan raya di pekan Asajaya di sini hari ini.

Beliau berkata, tempoh kebenaran bagi aktiviti berkenaan diberikan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk lokasi setiap individu yang menyambut perayaan itu yang tinggal berasingan dengan keluarga mereka.

Jelasnya, keadaan itu memungkinkan mereka akan berkunjung ke rumah keluarga terdekat itu pada hari ketiga hingga hari ketujuh perayaan terbabit.

Namun begitu, kebenaran bagi aktiviti tersebut hanya diberikan tertakluk kepada individu yang tinggal di dalam kawasan zon yang sama sahaja.

“Kebenaran dan SOP (prosedur operasi ‘standard’) yang di keluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS) adalah bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri itu tertakluk kepada kawasan dalam zon yang sama bukan sebaliknya.

“Bagi yang mempunyai ahli keluarga di zon yang berbeza, peratuan atau prosedur operasi ‘standard’ seperti sebelum ini adalah kekal terpakai dan perlu dipatuhi oleh mereka.

Kelihatan Abdul Karim mengagihkan bubur pedas kepada orang ramai dekat pekan Asajaya.

Abdul Karim berkata, individu-individu tersebut perlu memdapatkan kebenaran atau permit daripada pihak polis jika ingin melakukan pergerakan rentas zon.

Tegasnya, semua SOP yang ditetap oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) termasuk melibatkan pergerakan rentas zon masih kekal dan akan turut diguna pakai sewaktu sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Aktiviti ziarah ini hanya terhad kepada tempat tertentu sahaja. Kalau dari sini (Asajaya) ingin menziarah ibu dan bapa di Sibu, saya rasa itu tidak boleh kerana SOP berkenaan dihadkan untuk satu zon yang sama sahaja,” katanya.

Semalam MIS mengeluarkan garis panduan atau SOP mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang yang antara lain membenarkan aktiviti ziarah selama tujuh hari daripada hari pertama Sambutan Hari Raya Aidilfitri hingga hari ketujuh sambutan perayaan berkenaan.

Namum begitu perkara itu dipinda MIS hari ini terhad kepada sambutan pada hari pertama hingga hari ketiga (1-3 Syawal) sahaja. — DayakDaily