TATAU, Ogos 26: Nasib malang menimpa 65 orang penghuni rumah panjang Sengalang, Selisot, di Jalan Bintulu-Tatau di sini apabila mereka hilang tempat tinggal sekelip mata akibat kebakaran awal pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 3.55 pagi itu menyebabkan rumah panjang 11 pintu tersebut musnah terbakar 100 peratus.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata berdasarkan maklumat diterima daripada komander operasi, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Jelasnya, sebelum itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.59 pagi.
“Sejurus menerima maklumat kejadian, 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dan lapan anggota bomba dari BBP Bintulu bergegas ke lokasi bagi melakukan operasi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba di kawasan kejadian, anggota bomba mendapati rumah panjang berkenaan sedang dijilat api,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, pemeriksaan lanjut mendapati semua penghuni kediaman itu berjaya menyelamatkan diri daripada sebarang kecelakaan.
Katanya, api yang pantas merebak menyebabkan kesemua mangsa gagal menyelamatkan pelbagai barangan milik mereka.
“Pasukan bomba menggunakan sumber air jentera dan air dari Sungai Selitut bagi mengawal kebakaran tersebut.
“Buat masa ini, bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat insiden berkenaan,” ujarnya lagi. — DayakDaily