Kebakaran rumah di Long Adang, Limbang

Api marak memusnahkan rumah di Long Adang, Limbang.

LIMBANG, 2 Julai: Sebuah rumah di Long Adang, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3.15 petang.

Jelasnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman jenis tidak kekal dua tingkat yang telah terbakar 100 peratus.

Semua penghuni rumah dilaporkan selamat dan tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba Limbang sedang diatur gerak ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja penyiasatan kebakaran.

Jalan menuju ke lokasi adalah melalui jalan balak dan terpaksa melalui dua sungai.

Sekiranya hujan, kenderaan tidak dapat melaluinya dan risiko runtuhan tanah becah di laluan berbukit menyebabkan perjalanan ke lokasi mengambil masa 7 hingga 8 jam. — DayakDaily