Keadilan Sarawak tidak lantik pengerusi baharu dalam masa terdekat

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 16 Mac: Parti Keadilan Rakyat Sarawak (Keadilan Sarawak) tidak akan mengadakan pemilihan dan perlantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dalam masa terdekat.

Dalam satu kenyataan hari ini, MPN berkata bahawa Keadilan Sarawak akan terus bergerak dengan komposisi yang sedia ada tanpa wujudnya individu pemimpin dilantik sebagai pengerusi.

“Cukup dengan kepimpinan pemimpin-pemimpin kanan dalam Council of Elders (COE) yang diketuai Timbalan Pengerusi MPN dan ahli-ahli yang lain untuk memimpin Keadilan Sarawak.


“Apa yang penting adalah Keadilan Sarawak terus bergerak sebagai satu pasukan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MPN menyangkal dakwaan Professor James Chin menerusi sebuah akhbar tempatan bahawa COE tidak boleh dilaksanakan di dalam konteks Malaysia.

MPN juga menyangkal pendapat Chin yang mengatakan Keadilan Sarawak tidak dapat mencari pengganti kepada Larry Sng kerana keputusan untuk menubuhkan COE adalah secara ‘consensus’.

“Bermakna Keadilan Sarawak tidak mementingkan individu tetapi kumpulan yang akan bekerja berpasukan dan membuat keputusan secara kolektif.

“Malah, semasa Sng mengetuai, keputusan yang telah dibuat pun adalah secara kolektif. Maka ini diteruskan sahaja oleh COE,” katanya.

Menerusi kenyataan itu juga, Keadilan Sarawak menyangkal dakwaan bahawa parti berada di dalam kemelut politik baru-baru ini.

Jelas MPN, andaian itu adalah berlandaskan pemimpin yang keluar parti mempunyai alasan peribadi mereka tersendiri.

“Mungkin juga kerana habuan yang menanti mereka kalau keluar. Tidak ada apa-apa pertengkaran atau perselisihan pun di dalam Keadilan Sarawak sepanjang kepimpinan Sng.

“Malah keputusan beliau untuk meninggalkan parti pun dibawa berbincang dengan agak panjang lebar sebelum beliau keluar parti,” ujar MPN Keadilan. — DayakDaily