KUCHING, April 22: Suasana ketibaan Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) di Sarawak yang masih tidak banyak menyaksikan perlawanan politik antara penyokong Barisan Nasional (BN) negeri ini dengan penyokong pembangkang mungkin menjadi pertanda baik rakyat Sarawak mahu bersatu dan kuat di bawah BN.
Penganalisa politik Datuk Peter Minos berkata keadaan ketibaan pilihanraya itu di Sarawak ketika ini amat berbeza dengan Semenanjung yang sedang menyaksikan penyokong BN sedang giat berlawan dengan hebat dengan penyokong pembangkang.
“BN Sarawak kelihatan agak tenang dan ceria. Memeranjatkan juga, pembangkang di Sarawak juga ada sedikit dalam mod yang lena. Malahan bagi seluruh Sarawak, seolah-olah PRU masih belum tiba,” katanya dalam kenyataan medianya.
Peter berkata beliau hanya ada melihat sedikit riuh rendah penyokong di kedua-dua pihak di sana-sini dan ini bermungkinan rakyat Sarawak secara senyap menikmati perlawanan politik di Semenanjung ketika ini sehingga terlupa yang pilihanraya umum sudah semakin dekat.
“Mungkin juga rakyat Sarawak melihat tiada isu besar di negeri ini dan hanya sedikit yang boleh diperjuangkan, tetapi tidak perlu sehingga bermatian melakukannya. Itulah apa yang saya lihat dan rasakan,” katanya.
Katanya ketika ini satu isu yang dekat dengan hati rakyat Sarawak ialah mereka mesti kekal kuat dan bersatu dalam BN sebagai satu kumpulan yang padu bagi berhadapan dan berurusan dengan orang peringkat pusat.
“Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) berkata demikian. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga berkata demikian dan juga yang lain. Pembangkang juga bagai terikat lidah dan secara senyap bersetuju, mereka tidak boleh berkata sebaliknya atau rakyat Sarawak akan menghentam mereka kerana tidak menyebelahi Sarawak,” katanya.
Disamping itu bagi isu 1MDB dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), rakyat Sarawak berpendapat isu ini diwujudkan mereka di Kuala Lumpur jadi perkara terbabit haruslah diselesaikan mereka disana dan lebih baik anak Sarawak fokus kepada isu yang bermanfaat kepada negeri ini, katanya lagi.
Ini termasuk pengembalian kuasa negeri ini dibawah Perjanjian Malaysia 1953 (MA63), mendapatkan lebih banyak kekayaan dari sumber minyak dan gas negeri ini dan mewujudkan perpaduan dan keharmonian budaya dan agama.
“Jadi, saya merasakan BN Sarawak akan mendapat keputusan yang baik. Saya yakin yang Sarawak akan mendapat 28 atau 29 kerusi Parlimen dari 31 kerusi itu di negeri.ini pada PRU14,” katanya, sambil menambah ini akan sekaligus membuktikan tema Sarawak “Kuat dan Bersatu” berkesan bagi BN Sarawak dan negeri ini. — DayakDaily