Keadaan banjir di Long Luyang semakin pulih

Pasukan bomba dan penduduk rumah panjang meninjau keadaan banjir.

Oleh Dean Adam

MARUDI, Jun 6: Keadaan banjir di Long Luyang, Tinjar yang menjejaskan kira-kira 800 orang penghuni semakin pulih apabila air mulai surut, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, air banjir yang naik sedalam 1.2 meter semalam kini dilaporkan menurun 0.3 meter dari keadaan sebelum itu.

Jelasnya, keadaan banjir di kawasan penempatan berkenaan juga terkawal dengan tiada sebarang pemindahan mangsa dilakukan.

Kelihatan keadaan banjir di Long Luyang, Tinjar.
Kelihatan keadaan banjir di Long Luyang, Tinjar.

“Laporan semasa akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, sebelum itu sepasukan empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi telah ke lokasi bagi melakukan operasi pemantauan.

“Kami telah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9 pagi semalam sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 210 kilometer dari BBP Marudi,” katanya. — DayakDaily