KUCHING, 26 Jan: Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuching (KCGCCI) yakin Sarawak mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus tahun ini.
Presidennya, Datuk Tan Jit Kee, berkata tahun ini lebih banyak projek berskala besar dijalankan kerajaan Sarawak dan rakyat tempatan hanya perlu bekerja keras untuk mencapai sasaran tersebut.
“Kita boleh mencapai enam peratus pertumbuhan ekonomi kerana tahun ini terdapat banyak projek besar dijalankan seperti Jalan Pesisir Pantai dan Jalan Raya Trunk Kedua serta pertanian moden,” katanya ketika menerima kunjungan Tahun Baru Cina ketua menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di kediamannya di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.
Tan berkata pertumbuhan ekonomi negeri ini yang lebih baik juga akan dirangsang projek pembekalan elektrik dan air yang akan dipergiatkan di seluruh Sarawak, disamping kerajaan Sarawak juga mempergiatkan usaha menyertai industri minyak dan gas di negeri ini.
“Ketua menteri berkata kita akan mengendali minyak kita sendiri, kita mengurus sendiri. Saya fikir ini akan turut merangsang pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.
Tan mengulas perutusan Tahun Baru Cina 2020 Abang Johari yang mensasarkan pertumbuhan ekonomi Sarawak boleh mencapai antara lima hingga enam peratus tahun ini.
Ini berikutan peningkatan perbelanjaan awam dan lebih banyak dana disuntik menerusi belanjawan tahunan serta inisiatif pembiayaan alternatif. — DayakDaily