KBBM bantu lonjakan 9.98 peratus hasil jualan barangan Malaysia pada suku keempat 2020

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

PUTRAJAYA, 18 Mac: Nilai hasil jualan bagi produk buatan Malaysia melonjak 9.88 peratus kepada RM1.78 bilion pada suku keempat tahun lalu rentetan Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) telah dilancarkan di peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Julai 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata Program KBBM telah mencatatkan peningkatan nilai jualan produk-produk buatan Malaysia berjumlah RM1.68 bilion pada suku keempat tahun 2020 berbanding RM1.62 bilion pada suku ketiga tahun 2020.

Manakala bagi jualan atas talian, pada suku keempat tahun 2020, nilai jualan produk-produk buatan Malaysia di platform pasaran utama adalah berjumlah RM102 juta berbanding pada suku ketiga tahun 2020 yang berjumlah RM43 juta

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan nilai hasil jualan bagi suku keempat tahun 2020 adalah RM1.78 bilion dan mencatatkan peningkatan sebanyak 9.88 peratus berbanding nilai hasil jualan pada suku ketiga tahun 2020.

“Apabila negara memasuki fasa pemulihan selepas berdepan kelembapan ekonomi akibat penularan Covid-19, Kementerian terus memainkan peranan untuk melonjakkan semula perbelanjaan domestik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang telah terjejas,” katanya ketika berucap sempena sambutan 365 hari beliau menerajui KPDNHEP.

Beliau berkata, kajian UOB ASEAN Consumer Sentiment pada tahun lalu juga menunjukkan sebanyak 69 peratus pengguna di Malaysia cenderung untuk membeli barangan atau produk daripada pengusaha tempatan.

“Sepanjang tempoh 365 hari saya berada di Kementerian, saya telah berjumpa pelbagai pihak industri, dari sektor peruncitan seperti MyDIN, AEON, NSK, Econsave kepada syarikat OilCo malahan juga industri yang tidak dikawal selia seperti industri kecantikan.

“Semua maklum balas dan cadangan yang telah dikemukakan oleh pihak industri ini telah banyak membantu Kementerian menangani situasi unik yang telah kita hadapi sepanjang tahun lalu akibat penularan wabak Covid-19,” katanya. — DayakDaily