Kawasan luar bandar dipantau teliti, suntikan anti-rabies diberi berterusan – Dr Rundi

Dr Rundi (dua dari kanan) pada sidang media di Kuching hari ini. Turut kelihatan Adrian (kanan) dan Chai (dua dari kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Sept: Suntikan anti-rabies kepada anjing yang berada di kawasan luar bandar akan dilakukan secara berterusan bagi mengawal penularan wabak tersebut.

Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah (MFICOR) Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, kawasan luar bandar khususnya di sempadan negeri merupakan kawasan kritikal untuk dipantau dengan teliti.


“Perkara yang penting berhubung jangkitan rabies ini adalah kawasan luar bandar. Tidak ramai yang menyedari masalah ini dan ia sangat membimbangkan kita.

“Oleh sebab itu pasukan khas ‘Immune Belt Enforcement Team’ (IBET) sangat penting dalam usaha kita mengawal penularan wabak rabies di kawasan sempadan sebelum ia sampai kepada kita,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu Dr Rundi telah merasmikan Persidangan Rabies In Borneo (RIB) yang dihadiri lebih 250 peserta dari Sabah, Singapura, Indonesia, Australia termasuk Sarawak di sebuah hotel di sini.

Pada sidang media yang sama, Pengarah Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Sarawak (UPKS) Datu Dr Chai Kin Chung berkata, pasukannya akan mengadakan lawatan sekurang-kurangnya 4 kali setahun ke setiap kawasan yang telah dikenalpasti.

Menurut Chai, terdapat 978 kawasan di bawah jagaan atau di bawah program IBET yang perlu diberi perhatian khusus.

“Program dan lawatan 4 kali setahun ke setiap kawasan ini membantu kita memastikan suntikan anti-rabies diberikan pada kadar 100 peratus,” katanya.

IBET telah ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak untuk membendung penularan wabak rabies di sepanjang 1,200 kilometer sempadan negeri mulai dari Lundu ke Lawas.

Manakala di sidang media itu juga, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sarawak (DVS) Dr Adrian Susin Ambud berkata, Sarawak menganggarkan populasi anjing di seluruh negeri ketika ini adalah sekitar 300,000 ekor.

Katanya, sehingga sekarang sebanyak 250,000 suntikan anti-rabies telah dilaksanakan.

Namun kata Adrian, peratusan jumlah suntikan anti-rabies ini berkurangan disebabkan anjing ini sentiasa membiak dengan populasi semakin bertambah.

Sejak penularan wabak rabies di Sarawak pada bulan Julai 2017, ia telah mengorbankan 46 nyawa melalui 52 kes jangkitan terhadap manusia yang direkodkan. — DayakDaily