Kasut sekolah berwarna hitam atau putih?

Kasut sekolah berwarna hitam dan putih yang dijual di bandar raya Kuching. Filepix

KUCHING, 12 Dis: Kasut sekolah berwarna hitam terus menjadi pilihan ibu bapa di bandar raya ini bagi dibelikan kepada anak mereka yang akan kembali ke sekolah awal tahun hadapan.

Ini setelah tinjauan dilakukan ke kedai kasut di bandar raya ini berikutan viral di media sosial mengenai surat pekeliling Kementerian Pendidikan yang pemakaian kasut berwana hitam yang sebelum ini diwajibkan kepada murid sekolah rendah dan menengah, dibatalkan bermula sesi persekolahan 2021.

Seorang jurujual di satu kedai kasut di Kuching Sentral, mendedahkan beliau ada dimaklumkan tentang pelajar sekolah boleh memakai kasut sekolah berwarna hitam atau putih mulai tahun hadapan tetapi mendedahkan berita terbabit tidak menyebabkan jualan kasut sekolah berwarna putih mereka meningkat.


“Malahan kedai kami kini sedang mengadakan jualan murah bagi menghabiskan semua stok lama kasut sekolah putih,” katanya.

Beliau berkata walaupun harga kasut sekolah berwarna putih dijual dikedai mereka juga lebih rendah dari yang berwarna hitam, ramai ibu bapa terus memilih membeli kasut sekolah berwarna hitam untuk anak mereka.

“Tetapi memang ada ibu bapa yang membelikan kasut sekolah berwarna putih, kerana ramai murid di sekolah anak mereka yang memakai kasut itu,” katanya.

Manakala jurujual satu kedai kasut lain juga di Kuching Sentral mendedahkan mereka pula tidak ada menjual kasut sekolah berwarna putih dan hanya yang berwarna hitam sahaja.

Selain itu, pemilik kedai kasut di satu pasaraya di Tabuan Jaya juga menyatakan ramai ibu bapa memilih membeli kasut sekolah berwarna hitam dan bukan putih di kedainya walaupun ketika ini harga kasut sekolah berwarna putih lebih rendah.

Tinjauan itu juga mendapati kasut sekolah berwarna putih paling rendah harganya ada ditemui ialah lebih RM19 sepasang dan kasut sekolah berwarna hitam paling rendah harganya pula RM25 sepasang. — DayakDaily