Kastam Sarawak terus serbu dan rampas rokok dan minuman keras yang dijual secara haram

Rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Ogos 15: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak telah melakukan serbuan dan merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama di sebuah rumah di Desa Senadin, Kuala Baram, lewat petang semalam.

Pengarahnya, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam serbuan pada pukul 6.20 petang itu, pihaknya telah menahan seorang lelaki dan merampas sebanyak 6,684 batang rokok dan minuman keras pelbagai jenama sebanyak 238.68 liter.


Jelas beliau, kesemua barangan yang dirampas itu melibatkan anggaran nilai sebanyak RM1,718.14 dan jumlah cukai sebanyak RM8,650.24.

“Semasa serbuan itu, kita telah berjaya menemui sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai belum lulus cukai Kastam yang di simpan di premis berkenaan.

“Individu terlibat disyaki menyimpan rokok dan minuman keras berkenaan untuk dijual kepada pelanggannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah menambah, kes itu disiasat dibawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Katanya, jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily