Kastam Sarawak terus gempur premis disyaki jual rokok, minuman keras haram

Pegawai Kastam mengangkat pelbagai jenis rokok dan minuman yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Ogos 29: Jabatan Kastam terus menggempur premis yang disyaki menjual rokok dan minuman keras haram pelbagai jenis dalam usaha memerangi kes penyeludupan di negeri ini.

Dalam serbuan terbaharu di sebuah premis di Jalan Piasau Utara semalam, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Miri berjaya merampas sebanyak 81,160 batang rokok dan minuman keras pelbagai jenama sebanyak 770.82 liter.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata menerusi serbuan kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, seorang lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kejayaan itu merupakan hasil risikan susulan maklumat awam yang diterima sebelum ini.

Kelihatan rokok yang turut dirampas sebagai bahan bukti kes.
Kelihatan minuman keras pelbagai jenis yang dirampas.

“Semasa serbuan itu, kita telah menemui sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai belum lulus Kastam yang di simpan di premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati anggaran nilai rampasan rokok dan minuman keras itu adalah sebanyak RM26,758.62 dan jumlah cukai bernilai RM69,302.08,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah menambah, modus operandi kes itu ialah individu terlibat disyaki menyimpan rokok dan minuman keras yang belum lulus Kastam di premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggannya.

Katanya, rokok dan minuman keras berkenaan disembunyikan di dalam satu bahagian bilik dan dalam peti sejuk premis berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, dimana jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. — DayakDaily