Oleh Dean Adam
KUCHING, Jan 6: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas sebanyak 980,400 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki belum lulus cukai Kastam yang berjumlah RM88,236 di sebuah bangunan kedai terbiar di Jalan Penrissen, semalam.
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, jumlah keseluruhan cukai yang terlibat pula adalah sebanyak RM655,887.60.
Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil intipan yang dilakukan oleh Cawangan Operasi Darat Kastam Ibu Pejabat Kuching.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas bangunan kedai terbiar tidak bernombor tersebut, pasukan menjumpai sebanyak 980,400 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki belum lulus Kastam kerana tidak bersetem cukai.
“Kesemua barangan tersebut disita yang mana nilai rampasan rokok tersebut adalah berjumlah RM88,236 dan jumlah keseluruhan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM655,887.60,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sharifah Halimah menambah, kesemua rokok tersebut dipercayai untuk edaran dan untuk pasaran tempatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya. — DayakDaily