Kastam Sarawak rampas rokok dan minuman keras tiada bayaran cukai bernilai RM132,218.75

Antara kotak rokok dan minuman keras yang dirampas Kastam.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 6: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Sarawak berjaya melakukan serbuan dan merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama di sebuah kedai bertempat di Jalan Sibiyu di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 10 pagi itu, sebanyak 115,000 batang rokok putih dan 79,360 batang rokok kretek serta 29 liter minuman keras pelbagai jenama telah dirampas.


Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam satu kenyataan media hari ini mendedahkan, anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM13,985 dan jumlah cukai sebanyak RM132,218.75.

Tegas beliau, seorang lelaki berumur 43 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Sebelum itu, sepasukan anggota Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Bintulu telah menyerbu sebuah kedai yang berlokasi di Jalan Sibiyu di sini.

“Hasil pemeriksaan, pasukan Kastam telah berjaya menemui sejumlah rokok putih, rokok kretek dan juga minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai belum lulus cukai Kastam di dalam kedai dan di tingkat atas premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menambah, individu terlibat disyaki menjual rokok dan minuman keras yang belum lulus Kastam kepada pelanggannya.

Jelasnya, sebahagian rokok yang dijumpai disembunyikan di tingkat atas kedai berkenaan yang dipercayai dijadikan stor simpanan barang tersebut,” ujarnya.

Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967. — DayakDaily