Kastam Sarawak rampas mercun haram bernilai RM70,500

Kelihatan kotak-kotak mercun yang dirampas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, 20 Dis: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menerusi Bahagian Penguatkuasaan Kuching telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah yang telah dijadikan stor mercun yang disyaki tidak lulus kastam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam satu serbuan semalam, JKDM Sarawak telah merampas dan menyita sebanyak 3.154 tan mercun.


Jelasnya, jumlah anggaran nilai barang sitaan bagi serbuan tersebut adalah sebanyak RM70,500 manakala jumlah anggaran amaun duti kastam yang terlibat adalah sebanyak RM45,825.

“Sebelum itu, bertindak atas satu maklumat sempena Operasi Perayaan, OPS PETASAN 2019, sepasukan pegawai kastam telah melakukan pemeriksaan ke sebuah rumah di Jalan Batu Kawa, Kuching.

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut, pasukan telah menjumpai sebanyak 99 karton mercun yang disimpan di dalam perimeter rumah yang ditutup dengan kanvas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah menambah, jumlah keseluruhan mercun yang disita ialah sebanyak 99 karton dengan berat sebanyak 3.154 tan.

Katanya, modus operandi sindiket itu ialah barangan ditutup dengan kanvas bagi mengelakkan barangan mudah dikesan.

“Seorang individu juga telah ditahan semasa serbuan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. —DayakDaily