Kastam Sarawak rampas jam tangan mewah bernilai RM16.4 juta

Pelbagai jam tangan mewah yang dirampas oleh Kastam Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, 15 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menerusi Bahagian Penguatkuasaan JKDM, Kuching berjaya merampas jam tangan mewah pelbagai jenama bernilai RM16.4 juta dalam satu serbuan serentak di dua lokasi berbeza di pusat beli belah terkemuka di bandaraya Kuching, semalam.

Hasil pemeriksaan rapi ke atas premis tersebut, pasukan kastam berjaya merampas sebanyak 405 unit jam tangan mewah pelbagai model dan jenama yang belum dibayar cukai.

Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, jumlah keseluruhan cukai yang terlibat hasil serbuan itu pula adalah sebanyak RM820,607.67.

Jelasnya, siasatan lanjut mendapati jam tangan mewah pelbagai jenama itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara seperti Hong Kong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan transit menggunakan pesawat domestik menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk mengelak daripada pemeriksaan kastam.

“Dagangan tersebut juga dibawa masuk terus dari Singapura menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan jam-jam tangan mewah pelbagai jenama tersebut disorok di dalam ‘brief case’ dan melepasi pemeriksaan kastam kerana tidak diikrar atau dengan mengikrar ‘nothing to declare’.

“Jam tangan mewah tersebut yang bernilai tinggi dibawa masuk satu persatu di tangan sebagai barangan peribadi untuk mengelirukan pegawai kastam di pintu masuk padahal dengan kekerapan keluar masuk negara dengan cara tersebut, maka kuantiti yang dibawa masuk adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah menambah, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

“Jika didapati bersalah, pesalah akan didenda tidak lebih daripada 10 kali ganda amaun duti kastam dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun duti kastam atau penjara tidak lebih daripada 3 tahun atau kedua‐duanya,” katanya. —DayakDaily