Kastam rampas rokok, minuman keras seludup berjumlah RM126,000 di Miri

Kelihatan pelbagai jenis minuman keras yang disembunyikan di dalam sebuah van.

Oleh Dean Adam

MIRI, 10 Jan: Jabatan Kastam telah merampas minuman keras dan rokok seludup berjumlah RM126,312.79 termasuk cukai di dua buah tempat berasingan semalam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata dalam serbuan jam 3.35 petang dan 4.35 petang itu, sebanyak 84,464 batang rokok dan minuman keras berjumlah 1,452.71 liter pelbagai jenama telah dirampas.


Menurutnya, anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM33,903.19, manakala jumlah cukai adalah sebanyak RM92,409.60 bagi kedua-dua kes berkenaan. Sebuah kenderaan jenis van juga telah disita.

“Pihak Kastam turut menahan dua orang lelaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kelihatan pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang dirampas.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua individu terlibat disyaki menyimpan rokok dan minuman keras yang belum lulus Kastam di premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggan.

“Rokok dan minuman keras berkenaan disembunyikan di dalam bilik stor dan peti sejuk premis berkenaan.

“Manakala bagi kes rampasan kenderaan beserta muatan, kami percaya van tersebut digunakan oleh pihak tertentu sebagai tempat simpanan barang seludup kerana bimbang dan untuk menyimpan di dalam premis mereka selain bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa,” jelasnya. — DayakDaily