Kastam rampas rokok dan minuman keras bernilai RM1.13 juta.

Kelihatan rokok dan minuman keras yang dirampas untuk siasatan lanjut.

KUCHING, Mei 21: Cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai RM1.13 juta berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sarawak dalam satu serbuan di kawasan perindustrian Demak Laut semalam.

Menurut pengarahnya Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, barangan tersebut diangkut ke bandaraya ini menggunakan sebuah lori trailer milik syarikat pengangkutan berlesen untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Bagaimanapun helah tersebut terbongkar dan sepasukan anggota dari cawangan Operasi Darat Kastam Kuching berjaya mengekori lori tersebut selama tiga jam sepanjang Jalan Kuching-Serian sehingga ke kawasan Perindustrian Demak Laut.


“Anggota kita berjaya menjejak lori treler tersebut yang disyaki membawa muatan barang dagangan belum lulus kastam dan terus mengekorinya sehingga ke premis gudang syarikat pengangkutan berkenaan di Demak Laut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 1.77 juta batang rokok dan 26,308.8 liter minuman keras bernilai kira-kira RM1.13 juta.

“Selain itu, didapati belaku penyelewengan cukai (duti kastam) sebanyak RM2.3 juta,” dedah Sharifah Halimah dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau memberitahu dipercayai komoditi tersebut diseludup untuk bekalan pasaran musim perayaan Hari Gawai Dayak yang bakal tiba.

Anggota Kastam memeriksa lori yang ditahan dalam operasi tersebut.

Tambahnya, kesemua barangan tersebut disita dan pemandu serta pengurus gudang syarikat pengangkutan itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar.

“Selain itu, mereka juga boleh didenda tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun,” jelasnya.

JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat Kastam berhampiran. — DayakDaily