Kastam rampas pelbagai jenis minuman keras, rokok, bir dan mercun di Kapit

Barang-barang yang dirampas dalam operasi tersebut.

SIBU, 11 Dis: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas pelbagai jenis minuman keras, bir, rokok dan mercun dalam dua serbuan berasingan di Kapit pada 1 Dis lepas.

Pengarahnya, Herman Shah Abdullah berkata serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah premis di Wisma Megah, Jalan Kapit By Pass sekitar jam 10 pagi.

Beliau memberitahu sebanyak 16,880.76 liter bir, 243 liter minuman keras, 312,640 batang rokok dan 21.40 kilogram bunga api telah dirampas.


“Kesemua rampasan dianggarkan  bernilai sebanyak RM119,469.41 dan jumlah duti/cukai dianggarkan sebanyak RM468,814.58,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala serbuan kedua dilakukan ke atas sebuah premis di Taman Ixora, Jalan Selirik Kapit yang berjaya merampas sejumlah bir yang dipercayai tidak berkastam.

“Kira-kira sebanyak 2,890.80 liter bir pelbagai jenama telah dirampas melibatkan anggaran nilai sebanyak RM13,099.16 dan jumlah duti/cukai dianggarkan sebanyak RM44,107.83,” katanya lagi.

Herman menambah dua lelaki tempatan berusia 48 dan 50 tahun ditahan dalam kedua-dua serbuan tersebut.

“Dalam kedua-dua kes ini, individu terlibat disyaki menyimpan barangan tidak berkastam di premis tersebut untuk dijual kepada pelanggan terutamanya di kawasan Kapit.

“Barangan tidak berkastam tersebut dijumpai di premis dan di dalam stor simpanan barangan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-80088- 8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. — DayakDaily