Kastam rampas 34.5kg dadah bernilai RM1.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

Antara dadah yang dirampas.

KUCHING, 16 Nov: Dua lelaki ditangkap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak kerana disyaki terlibat dalam cubaan menyeludup masuk dadah jenis methaphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 3 November lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata kedua-dua suspek merupakan warga tempatan berusia 28 dan 32 tahun.

Katanya, mereka tiba di LTAK menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur sekitar jam 10 malam.


“Unit Khas Pemeriksaan Penumpang JKDM Sarawak menahan kedua-dua suspek kerana imej imbasan ke atas bagasi yang dibawa seorang daripada mereka menunjukkan tanda positif bahan narkotik.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 14 paket mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 14.178 kilogram dan nilai RM497,600,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Taufik, kedua-dua suspek telah melakukan silang bagasi iaitu masing-masing membawa bagasi yang didaftarkan bukan atas nama sendiri.

“Siasatan juga mendapati suspek berusia 32 tahun mengambil upah sebagai ‘rider’,” katanya.

Kedua-dua suspek masih ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, JKDM turut berjaya merampas 20.336 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM727,200 juga pada hari sama di LTAK sekitar jam 12 tengah hari.

Ahmad memberitahu dadah tersebut dijumpai dalam bagasi yang tidak dituntut sebaik tiba dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Siasatan lanjut bagi kedua-dua kes tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Modus operandi bagi kedua-dua kes adalah dengan membawa masuk bahan narkotik melalui penerbangan domestik dan dibungkus menggunakan bungkusan berupa serbuk minuman,” kata Ahmad Taufik.

JKDM Sarawak dari Januari hingga Oktober 2023 merekodkan rampasan 212.448 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM4,655,854. — DayakDaily