Kastam gagalkan cubaan seludup 1,000 gram dadah, tangkap seorang suspek di Miri

Gambar komposit menunjukkan dadah yang diseludup masuk ke Miri menggunakan kurier.
Advertisement

MIRI, 31 Jan: Seorang lelaki berusia 44 tahun ditangkap selepas disyaki terlibat kegiatan menyeludup dadah menggunakan perkhidmatan kurier pada 24 Januari, baru-baru ini.

Menjalankan tugas-tugas (m.t.t.) Pengarah Kastam Negeri Mohd Nadzri Ariffin berkata suspek ditangkap pegawai dari Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak di premis syarikat kurier tersebut di Permy Technology Park, sekitar jam 11.17 pagi.

Katanya, suspek ditangkap ketika menuntut bungkusan tersebut yang dikirim dari luar negara.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan ke atas bungkusan berkenaan telah membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk berwarna putih dipercayai dadah jenis ketamin, yang dianggarkan seberat 1,000 gram.

“Turut dijumpai adalah satu paket serbuk minuman jenama “Juice Master” di dalam beg sandang suspek yang telah diuji dan dipercayai dadah jenis ketamin serta dianggarkan seberat 28 gram,” katanya dalam satu sidang media di Kuching, hari ini.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM51,400.

“Modus operandi suspek adalah menggunakan nama syarikat yang tidak aktif dan alamat yang tidak wujud untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa serta menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah masuk ke bandaraya Miri.

“Orang awam juga dipercayai digunakan sebagai keldai dadah untuk mendapatkan bungkusan yang dihantar melalui perkhidmatan kurier,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama,” katanya. — DayakDaily

Advertisement