Kastam gagalkan cubaan edar dadah guna bas ekspres

Nadzri (dua kanan) semasa sidang media tersebut hari ini.
Advertisement

KUCHING, 7 Okt: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya melumpuhkan cubaan mengedar dadah menggunakan bas ekspres pada 26 Sept lalu.

Menjalankan Tugas-Tugas Pengarah Kastam Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata pihaknya menemui sebanyak 100 paket jus campuran mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ketamin di ruang kargo sebuah bas ekpres yang bergerak dari Miri ke Kuching.

Katanya, kesemua dadah tersebut dianggarkan seberat 3,198 gram bernilai RM384,700.

Advertisement

“Pada 26 Sept iaitu sekitar jam 5.40 pagi, anggota kita melalui Ops Bersepadu Sekatan Jalan Raya di Jalan Sarikei-Sri Aman telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bas ekspres antara bandar.

“Pemeriksaan rapi telah menemui 100 paket jus yang mengandungi dadah jenis ketamin seberat kira-kira 3,198 gram bernilai sekitar RM384,700.

“Siasatan awal mendapat bungkusan (dadah) tersebut dihantar dari Miri menuju ke Kuching,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, sehingga hari ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

“JKDM Sarawak akan mengesan individu pengirim serta penerima di Kuching berdasarkan maklumat pengiriman yang tertera pada bungkusan tersebut,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara JKDM Sarawak sepanjang tahun telah merampas sejumlah 24.355 kg dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ganja serta sebanyak 106 biji pil eramin 5 dengan nilai rampasan termasuk aset berjumlah RM1,389,088.83.

“JKDM Sarawak menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi 1-800-88-8855.

“Pihak JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah rahsia,” katanya. — DayakDaily

Advertisement