Kastam bongkar kegiatan penyeludupan minuman keras di Miri

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) logo
Advertisement

Oleh Juetila Ozzy

MIRI, 21 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas pelbagai jenis minuman keras yang disyaki tiada cukai Kastam dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Sea View, di sini semalam.

Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah berkata anggotanya dari Stesen Miri dan Bintulu dengan kerjasama Cawangan Risikan Zon 6 Sarawak menyerbu rumah tersebut yang dijadikan stor penyimpanan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 1,963.37 liter minuman keras pelbagai jenama yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM12,415.14 dan jumlah duti / cukai dianggarkan sebanyak RM34,001.34,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, tiga individu berusia lingkungan 21 hingga 44 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Suspek adalah terdiri daripada dua orang lelaki, di mana seorang daripadanya adalah warga asing dan seorang lagi wanita,” katanya.

Herman memberitahu modus operandi suspek adalah dengan menjadikan rumah tersebut sebagai transit, sebelum minuman keras itu dihantar ke lokasi jualan menggunakan kenderaan jenis pelbagai guna (MPV).

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan larangan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas Herman.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-80088- 8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” katanya. — DayakDaily

Advertisement