Kasam babi menoa pilihan pengunjung Pekan Tamu Lachau

Beberapa pek kasam babi menoa di gerai Caroline sedia menunggu pelanggan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Mac: Kasam babi menoa kini antara produk makanan pilihan utama bagi pengunjung Tamu Pekan Lachau.

Bagi yang kurang memahaminya, babi menoa adalah babi tempatan peliharaan penduduk.


Tinjauan DayakDaily mendapati terdapat beberapa gerai menjual makanan eksotik tersebut dengan harga RM25 untuk satu pek.

Menurut seorang penjual Caroline Beredai Abang yang berasal dari Sungai Merah di Lachau, pelanggan utama beliau adalah masyarakat Bidayuh dari Serian.

“Kebiasaannya pada hujung minggu mereka akan datang untuk membeli kasam babi menoa.

“Namun demikian, kasam ini memang ada setiap hari di Tamu Pekan Lachau,” katanya.

Tambah Caroline, seekor babi seberat 30 kilogram boleh menghasilkan sebanyak 70 pek kasam.

Beliau yang sudah lebih 10 tahun berniaga di Tamu Pekan Lachau turut menjual kasam ikan tanggadak, lanyeh babi dan pelbagai buahan serta sayuran.

Caroline setia menunggu pelanggan di Tamu Pekan Lachau.

Caroline memberitahu cara menyediakan kasam babi menoa adalah mudah.

Katanya, isi babi (samcam) yang telah dipotong akan dicampur dengan garam dan daun kepayang.

“Kemudiannya ia akan dibiarkan selama seminggu atau paling lama dua minggu bagi menghasilkan daging kasam yang sedap,” jelas Caroline. — DayakDaily