KUCHING, 3 Okt: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL) akan menganjurkan Karnival LAKIL pada 7 hingga 9 Oktober ini.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Pengerusi LAKIL Datuk Amar Jamilah Anu berkata, karnival berkenaan diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M.
“Antara lain, karnival ini menerapkan pembudayaan sunnah Rasulullah SAW melalui program keilmuan, pendidikan, kesenian kemahiran, ekonomi dan riadah Islamik.
“Seterusnya memberikan manfaat kepada masyarakat Islam dan bukan Islam secara, tidak langsung dan mewujudkan kerjasama baik di antara pelbagai pihak serta sebagai saluran informasi,” katanya dalam sidang media Karnival LAKIL di Dewan Serbaguna Mahligai Gading di Lundu pada Isnin.
Terdapat pelbagai program yang akan diadakan bersempena dengan karnival ini iaitu pameran, promosi dan jualan.
Perkampungan sunnah, pertandingan da’i muda, forum perdana, pertandingan sirah nabi, seminar sukan memanah sunnah Rasulullah SAW, bengkel bunga silat dan pertandingan karaoke islamik.
Karnival ini akan diserikan dengan acara kemuncaknya iaitu Malam Semarak Cinta Rasul serta perarakan dan Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1444H.
Perkampungan Sunnah Lundu 144H juga julung kalinya diadakan di daerah Lundu pada 7 hingga 8 Oktober 2022 di Masjid Daerah Lundu dan dianggarkan seramai 300 sehingga 500 peserta akan menyertainya.
Dalam pada itu, bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul 144H / 2022M Peringkat Daerah Lundu, satu perarakan dan pertandingan sepanduk akan diadakan dengan bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.
Johan bagi pertandingan perarakan dan sepanduk ini akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.
Dijangkakan seramai 5,000 orang pengunjung akan hadir bagi memeriahkan lagi Karnival LAKIL ini. — DayakDaily
Advertisement