Karnival kerjaya JTK akan memperluas penempatan kerja golongan OKU, pelatih AADK

Sulaiman ketika ditemui pemberita di Program Karnival Kerjaya di Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 6: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak sedang merangka kaedah agar orang kurang upaya (OKU) turut terlibat di dalam Program Karnival Kerjaya.

Timbalan pengarah JTK negeri, Sulaiman Ismail, berkata usaha itu sedang dalam perancangan dan akan dilaksanakan untuk memastikan golongan OKU juga diberi peluang pekerjaan.

Advertisement

“Perancangan kita buat pada tahun ini dan sekarang sudah di peringkat perbincangan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita mencari kaedah bagaimana hendak melaksanakan karnival ini dengan melibatkan OKU dan menyakinkan majikan bahawa mereka juga berpotensi untuk ditempatkan pekerjaan,” katanya kepada pemberita di Program Karnival Kerjaya yang diadakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, hari ini.

Sebahagian daripada golongan belia meneliti peluang pekerjaan yang ditawarkan di program itu.

Selain OKU, JTK Sarawak turut mensasarkan pelatih-pelatih di Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), tambahnya.

Menurut beliau, pelatih-pelatih di AADK memiliki kemahiran tertentu dan wajar diberi peluang pekerjaan.

“Dengan itu kita mencari kaedah yang sesuai untuk memastikan semua golongan tidak terlepas daripada mendapat pekerjaan.

“Sekiranya mereka memiliki kelulusan ataupun kemahiran, maka wajar majikan memberi pertimbangan,” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini yang bermula dari jam 8 pagi sehingga 5 petang , Sulaiman berkata 20 majikan telah dijemput untuk mengadakan temuduga terbuka untuk pencari kerja di Sarawak, khususnya di Kuching.

Sebanyak 1,324 jawatan kosong yang meliputi sektor pembuatan, perkhidmatan dan juga peruncitan menjadi rebutan pencari kerja.

Program Karnival Kerjaya diadakan serentak di seluruh negara dan kelima kali di Sarawak pada tahun ini selepas di Mukah, Darul Hana (Kuching), Lawas dan Bintulu. — DayakDaily

Advertisement