Karim sokong tekad Pandelela untuk bangkit di Paris 2024

Karim (dua dari kiri) pada sidang media di Pusat Akuatik Pandelela Rinong hari ini.

KUCHING, 7 Ogos: Tekad Ratu Terjun Negara Pandelela Rinong untuk terus beraksi pada temasya Olimpik Paris 2024 seharusnya disokong, tegas Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut sedih dengan penampilan Pandelela di Tokyo baru-baru ini, Karim menyifatkan penerjun kelahiran Bau itu masih memiliki semangat untuk terus berjuang di peringkat antarabangsa.

“Saya sedih kerana Pandelela gagal berada di podium. Tetapi, berada di Olimpik dan pada acara akhir 12 penerjun adalah satu pencapaian yang cukup besar.


“Sebagai rakyat Sarawak dan Malaysia, saya amat bangga dengan pencapaian ini.

“Walaupun gagal di Tokyo, beliau masih bersemangat untuk menyertai temasya Olimpik seterusnya iaitu di Paris pada 2024,”katanya.

Karim berkata demikian pada sidang media selesai Sesi Meet-Up Pembangunan Atlet Sarawak di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di Petra Jaya hari ini.

Tambah Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, faktor umur bukanlah ukuran ketika usia Pandelela kini ialah 28 tahun.

Katanya, paling penting adalah kemampuan seseorang atlet untuk bersaing dan mencapai kejayaan.

“Tetapi sebelum Olimpik 2024, sudah tentu beliau akan bertanding dan mewakili negara di Sukan Asia, Sukan Sea dan Sukan Komanwel.

“Jika Pandelela masih boleh terjun dan menunjukkan kemampuan, maka beliau seharusnya diberi peluang,” kata Abdul Karim.

Setelah kecewa di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Pandelela tidak berputus asa dan berusaha lagi untuk layak bertanding di temasya edisi Paris 2024.

Pada aksi final di Pusat Akuatik Tokyo Sabtu lepas, Pandelela mempamerkan aksi mengecewakan sekali gus menamatkan saingan acara 10 meter platform wanita individu di kedudukan terakhir daripada 12 peserta. — DayakDaily