Karim gesa syarikat penerbangan turunkan harga tiket ke Sarawak

Abdul Karim

KUCHING, 28 Nov: Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Kesenian Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap syarikat-syarikat penerbangan dapat mengurangkan harga tiket ke Sarawak yang terlalu mahal sekarang.

Memahami situasi tersebut kini, beliau berkata telah mendengar keluhan daripada pelbagai pihak khususnya mereka di Semenanjung yang ingin balik ke Sarawak pada Disember ini.

“Apabila saya selidiki, memang tiket amat mahal pada masa sekarang. Ini adalah di dalam bidang kuasa kementerian pengangkutan.


“Pada penghujung tahun ini, ramai mereka di Semenanjung yang ingin balik ke Sarawak untuk meraikan krismas, ini ditambah lagi dengan pilihanraya yang bakal diadakan Disember ini.

“Dan harapan saya juga ialah agar syarikat-syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, Malindo, AirAsia dan lain-lain dapat lebih bertimbang rasa kepada pengguna perkhidmatan,” katanya.

Karim berkata demikian ketika ditemui selesai Majlis Jelajah Belia Sarawak@Satok 2021 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Majlis telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Karim yang juga Menteri Belia Dan Sukan menolak dakwaan MP Pasir Gudang Hassan Abdul Karim bahawa faktor kenaikan harga tiket adalah disebabkan Pilihanraya Negeri, agar pengundi tidak balik.

”Ia tiada kena mengena dengan kerajaan negeri kerana harga tiket ditentukan oleh syarikat-syarikat penerbangan sama ada Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo atau yang lain lain.

“Harga tiket ini ditentukan oleh permintaan dan jumlah penerbangan. Apabila terlalu ramai yang ingin balik dan jumlah penerbangan tak banyak maka harga tiket akan tinggi,” kata Karim.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi catatan di laman Facebook miliknya hari ini menggesa semua syarikat penerbangan perlu segera menurunkan harga tambang penerbangan, tanpa perlu membabitkan campur tangan kerajaan secara berlebihan.

Beliau menyifatkan harga tambang yang dikenakan syarikat penerbangan khususnya ke Sarawak ketika ini amat membebankan pengguna.

Menurut Wee, kementerian MOT sudah mengadakan mesyuarat dengan Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo bagi membincangkan mengenai keperluan menurunkan harga tambang penerbangan bagi membolehkan penumpang menikmati kadar harga rendah menjelang akhir tahun ini.

Baru-baru ini, rakyat khususnya penduduk Sarawak mengadu kenaikan harga tiket kapal terbang untuk pulang dari semenanjung terlalu mahal berbanding hari biasa.

Aduan itu termasuk dibuat selebriti, Zee Avi yang memberitahu harga tiket penerbangan ada sehingga mencecah RM2,000 sehala yang disamakan dengan harga tiket penerbangan ke London. — DayakDaily