Kapasiti pengeluaran tenaga elektrik empangan Bakun akan dipertingkatkan – Abg Jo


KUCHING, 8 Dis: Pengeluaran tenaga elektrik dari Empangan Hidro Bakun akan dipertingkatkan kepada 2,700 Megawatt (MW) bagi menampung permintaan pengguna dan industri yang kian bertambah di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan bercadang untuk memasang satu lagi turbin janakuasa elektrik pada empangan itu untuk menambah pengeluaran tenaga elektrik sebanyak 300MW.

“Ketika ini ada empat turbin di empangan (hidroelektrik) Bakun, jadi pemasangan ini akan menjadi turbin yang kelima dengan penambahan janakuasa elektrik sebanyak 300MW,” katanya selepas merasmikan Persidangan Delegasi Luar Biasa Parti Rakyat Bersatu (UPP) di Crown Square di sini, hari ini.


Beliau berkata kerajaan belum lagi mempunyai butiran cadangan pemasangan penambahan turbin pada empangan terbabit termasuk kosnya, tetapi menegaskan kerajaan negeri boleh berbuat demikian kerana Empangan Hidroelektrik Bakun kini bukan lagi dimiliki kerajaan pusat.

Tambahnya, pengambilalihan empangan Bakun membolehkan kerajaan negeri untuk menambah pengeluaran tenaga elektrik bagi menampng permintaan di negeri Sarawak.

Empangan Hidroelektrik Bakun, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2,400MW, adalah stesen tenaga hidro terbesar di Malaysia dan terletak di Lembangan Atas Sungai Rajang sejauh 37 kilometer dari bandar Belaga.

Dibina dengan kos RM7.4 bilion, empangan terbabit ditauliahkan sepenuhnya pada Julai 2014 dan kerajaan negeri Sarawak mencapai persetujuan dengan kerajaan pusat untuk mengambil alih empangan Bakun dengan nilai RM2.5 billion pada Mac tahun lepas.

Pengambilalihan itu kemudian dilakukan syarikat milik penuh kerajaan negeri, Sarawak Energy Bhd – syarikat utiliti elektrik bersepadu dan pembangunan tenaga yang mengendali dua lagi empangan hidroelektrik di negeri ini, iaitu Batang Ai dan Murum. — DayakDaily