MIRI, 10 Jan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal tangki minyak yang mencurigakan di perairan Miri awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata kapal tangki minyak tersebut dikesan sekitar jarak lebih kurang 1.7 batu nautika dari barat muara Sungai Miri pada jam 2.35 pagi semalam.
Susulan itu, satu serbuan dan tangkapan dibuat berikutan maklumat risikan mengenai pelanggaran undang-undang oleh komuniti maritim di sekitar perairan Miri.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel tersebut disyaki telah melakukan beberapa kesalahan, antaranya kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, kerana vesel tiada Master serta Domestic Shipping Licence (DSL), dan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana kerana tiada dokumen Surat Control Supplies Act (CSA),” katanya dalam satu kenyataan.
Kapal yang membawa diesel dianggarkan 90,000 liter itu juga tiada Sijil Petroleum Development Act (PDA), tiada Resit/Invoice Pembelian Bahan Bakar, serta disyaki menyeludup diesel dan membawa minyak diesel melebihi kuantiti yang dibenarkan.
“Siasatan juga mendapati kapal yang dikendalikan empat kru termasuk tekong, kesemuanya warga Indonesia berumur 23 hingga 51 tahun itu sedang belayar dari perairan Baram menuju ke Miri,” katanya.
Kesemua kru, kapal serta anggaran diesel sebanyak 90,000 liter yang bernilai lebih kurang RM1.5 juta ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi individu perseorangan, atau RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan di perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negara.
Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily