Kapal pasir karam di Jambatan Beladin, seorang mangsa masih hilang

Operasi SAR mangsa yang masih hilang.
Advertisement

PUSA, 17 Sept: Seorang pekerja kapal pasir yang dilaporkan karam di Jambatan Beladin, di sini masih belum dijumpai sehingga lewat petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa meliputi kawasan radius 2 hingga 5 kilometer dari lokasi bot karam.

Bagaimanapun, sehingga jam 5.30 petang tadi, mangsa Nicholas Julius masih gagal dijumpai.

Advertisement

“Pencarian dijalankan di bawah jambatan ke kapal katam dan pencarian dilakukan secara ‘water surface’ searching dalam radius 5 kilometer.

“Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk dijumpai di sepanjang Sungai Saribas menuju ke hulu dan hilir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi SAR ditangguhkan disebabkan faktor cuaca serta keadaan semakin gelap dan akan disambung semula keesokan hari.

Turut sama dalam operasi ialah anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kapal muatan pasir tersebut dilaporkan karam pada jam 9.30 pagi hari ini.

Seramai empat lagi pekerja di kapal tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi jambatan.

Manakala mangsa dikatakan masih hilang selepas dipercayai masih berada di dalam kapal yang karam. — DayakDaily

Advertisement