Oleh Dean Adam
KABONG, Dis 24: Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar memancing ikan di Pengkalan Perahu Tambang di sini lewat petang semalam.
Mangsa yang berusia 10 tahun itu dilaporkan hilang selepas dikatakan tidak pulang ke rumahnya hingga pukul 6 petang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya hanya menerima maklumat mengenai insiden berkenaan pada pukul 10.15 malam.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, bapa kepada mangsa yang juga orang kelainan upaya (OKU) itu mengatakan anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing ikan.
“Bapanya kemudian mengarahkan abang kepada mangsa keluar mencari adiknya sebelum dia menemui selipar dan barang memancing milik kanak-kanak berkenaan.
“Mereka kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak polis sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada bomba,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan dengan menggunakan kaedah mencari di permukaan air sungai
“Buat masa ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan,”ujarnya. — DayakDaily