Kanak-kanak lelaki tahan sakit, besi senapang ikan tercucuk pada lutut

Anggota bomba berusaha memotong besi senapang ikan yang tercucuk pada lutut mangsa.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SONG, Feb 7: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terpaksa menahan kesakitan selepas besi senapang ikan tercucuk pada bahagian lututnya, hari ini.

Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan dari Klinik Kesihatan Song berhubung kejadian itu pada pukul 5.53 petang.

Advertisement

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke klinik berkenaan untuk melakukan khidmat khas memotong besi pada lutut kiri mangsa.

Katanya, apabila tiba di klinik pasukan bomba mendapati sebatang besi senapang ikan masih tercucuk di lututnya.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memotong besi berkenaan menggunakan peralatan khas.

“Selepas itu, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kapit untuk rawatan susulan,” katanya di sini malam ini.

Jurucakap sama menambah, operasi tamat sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian. — DayakDaily

Advertisement