Kanak-kanak lelaki maut, basikal dirempuh kereta

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan basikal.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 31: Malang menimpa seorang kanak-kanak lelaki apabila dia menemui ajal selepas basikal yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta di Jalan Tun Razak di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, 9, disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Umum Sarawak.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 24 tahun tidak sempat mengelak basikal yang secara tiba-tiba memasuki laluan kereta itu.

Katanya, impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari basikal dan mengalami kecederaan pada anggota badannya.

“Bagaimanapun, pemuda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Namun, malangnya kanak-kanak lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan semasa menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada pemandu kereta itu untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. — DayakDaily