Guru wanita berputih mata ditipu sindiket ‘Parcel Scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 31: Seorang guru wanita kerugian kira-kira RM3,500 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi bungkusan atau ‘Parcel Scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima pada Oktober 29 lalu, guru berusia 31 tahun itu dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri daripada Korean Service Kuala Lumpur.


Katanya, suspek berkenaan kemudian memaklumkan bahawa terdapat barangan kiriman milik mangsa telah sampai daripada Amerika Syarikat yang dikirim kononnya oleh Vincent Wong.

“Mangsa memberitahu, Vincent Wong adalah kenalan mangsa yang dikenali menerusi laman Facebook.

“Suspek kemudian mengarahkan supaya mangsa memasukkan wang ke dalam akaun CIMB atas nama Norseha Budin sebanyak RM3,500 untuk caj penghantaran memandangkan kiriman tersebut dari luar negara,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa kemudian menghantar mesej kepada suspek untuk bertanya sama ada suspek ada mengirim barang kepada dirinya.

Jelasnya, suspek seterusnya memberitahu ada mengirimkan hadiah kepada mangsa dan suspek memaklumkan kepada mangsa kad kewarganegaraan miliknya tertinggal di dalam hadiah tersebut.

“Suspek kemudian menyuruh mangsa mengikut segala arahan yang diminta supaya kiriman tersebut sampai kepada mangsa dan meminta mangsa menghantar semula kad kewarganegaraan miliknya itu.

“Mangsa yang terpedaya dengan suspek kemudian memasukkan wang RM3,500 ke dalam akaun suspek di Wisma Satok di sini pada hari yang sama,” katanya. — DayakDaily