Kanak-kanak lelaki hilang selepas bermain di luar rumah

Penemuan bekas tapak kaki mangsa di kawasan kebun neneknya.

PADAWAN, Jun 14: Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas dikatakan tidak pulang setelah bermain bersendirian di luar rumah mereka di Kampung Serumah, Teng Bukap di sini lewat petang semalam.

Kehilangan kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 10 bulan itu mula disedari oleh ahli keluarga mangsa pada pukul 5 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa itu pada pukul 9.25 malam.


Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan kemudian diarahkan ke kampung berkenaan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Apabila sampai di lokasi, ahli keluarga mangsa memaklumkan kanak-kanak tersebut dikatakan sedang bermain bersendirian di luar rumah.

“Kehilangan mangsa mula disedari oleh ahli keluarga mangsa selepas budak tersebut tiada di sekitar halaman rumah mereka,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pada mulanya, ahli keluarganya telah cuba mencari mangsa di sekitar kawasan rumah dan rumah jiran mereka, namun usaha itu masih gagal.

Katanya, kawasan pencarian pertama adalah di sekitar rumah mangsa serta di kawasan kampung, manakala kawasan kedua pula di kawasan kebun milik nenek mangsa dengan jarak dari rumah kira-kira 2 kilometer.

“Operasi SAR bersama agensi lain ditangguhkan pada pukul 2.30 pagi tadi dan akan disambung semula hari ini.

“Pasukan SAR ada menjumpai bekas kesan tapak kaki dipercayai milik mangsa semasa dalam perjalanan ke kebun nenek mangsa dan setakat ini mangsa masih belum dijumpai,” ujarnya lagi. —DayakDaily