Kanak-kanak lelaki hilang, dipercayai terjatuh dalam sungai di Tembirat

Operasi pencarian sedang dijalankan.

ASAJAYA, 22 Feb: Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas dikatakan terjatuh ke dalam Sungai Sabang, Kampung Tembirat, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kanak-kanak itu berusia 8 tahun dan dilaporkan hilang pada jam 4.50 petang.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dikerahkan ke lokasi kejadian dan operasi pencarian telah dimulakan pada jam 5.25 petang.


Operasi dimulakan dengan pencarian di lokasi dia dipercayai terjatuh dengan anggaran radius 100 meter.

Pada ketika berita ini ditulis, kanak-kanak tersebut masih belum dijumpai. — DayakDaily