Kanak-kanak hilang di Mukah ditemui mati

Anggota SAR membawa mayat mangsa dari lokasi dia ditemui.

Oleh Juetila Ozzy

MUKAH, 17 Jun: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun yang dilaporkan hilang, dikhuatiri lemas di sungai berdekatan SK Engkerbai, Selangau di sini pada Selasa (15 Jun) ditemui mati pagi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa iaitu Muhamad Danish Muuhamad Zamrie ditemui terapung kira-kira 1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Jelasnya, mangsa ditemui pada jam 8 pagi oleh penduduk kampung di hilir sungai tersebut.

Difahamkan ibu bapa mangsa telah mengesahkan mayat tersebut dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Mayat mangs kemudian dihantar Hospital Mukah untuk bedah siasat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan Bomba dengan keanggotaan dari Balai Bomba Selangau serta Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dari Balai Bomba Sungai Merah sebaik sahaja laporan diterima.

Turut sama dalam operasi tersebut ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung. ā€” DayakDaily