Kanak-kanak 2 tahun diselamatkan jiran dalam kebakaran di Siburan

Low bersama kanak-kanak terbabit selepas berjaya diselamatkan.

KUCHING, 7 Jan: Tindakan berani seorang jiran berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun dalam kebakaran di Kampung Cina, Siburan.

Difahamkan semasa kejadian, kanak-kanak terbabit hanya bersama ibunya sahaja di rumah apabila rumah mereka tiba-tiba terbakar iaitu sekitar jam 8 pagi.

Melihat keadaan tersebut, jiran mereka iaitu Low Lian Khian, 60 tahun, segera masuk ke dalam rumah tersebut untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit.


Ibu mangsa yang menyedari kebakaran tersebut selepas itu turut segera menyelamatkan dirinya.

“Jumlah sebenar penghuni rumah adalah seramai lima orang, tetapi semasa kejadian berlaku hanya dua penghuni, iaitu wanita dewasa bersama anak perempuannya yang berusia 2 tahun.

“Tindakan pantas seorang jiran, telah berjaya menyelamatkan kanak-kanak yang berada di dalam rumah ketika kebakaran,” kata Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Kebakaran berjaya dikawal pada 8.53 pagi dan tamat sepenuhnya pada 9.30 pagi.

Operasi memadam kebakaran tersebut dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan dengan diketuai Pegawai Bomba Nazry Mohamat.

Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan serta Sarawak Energy Berhad turut hadir di lokasi kejadian. ― DayakDaily