Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan sebagai rujukan generasi masa kini

Rosey (tengah) menunjukkan Kamus Melayu Sarawak - Melayu Dewan di Persidangan Antarabangsa Leksikologi Dan Leksikografi Borneo 2023.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 25 Okt: Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan yang mengandungi lebih daripada 13,000 kata dialek Melayu Sarawak dapat dijadikan rujukan dan di manfaatkan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia berguna kepada generasi masa kini serta para pengkaji bahasa untuk mendalami kosa kata Melayu Sarawak.

“Penerbitan kamus-kamus bahasa sukuan seperti ini turut menyumbang ke arah pengayaan bahasa kebangsaan kita melalui penyerapan bahasa sukuan.

Advertisement

“Ini terutamanya untuk mencari padanan yang sesuai dengan konsep-konsep baharu yang timbul dalam kehidupan semasa,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Perasmian Persidangan Antarabangsa Leksikologi Dan Leksikografi Borneo 2023 di Kota Samarahan hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus.

Sebagai anak Sarawak Abang Johari berasa bangga apabila ada beberapa dialek Sarawak yang terserap ke dalam bahasa Melayu.

Sebagai contoh katanya, jerayawara yang terhasil daripada gabungan perkataan jeraya dalam bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud jalan raya, manakala wara bermakna pertunjukan atau sandiwara.

“Saya juga dimaklumkan bahawa DBP turut memperkenalkan kata merarau yang bermaksud makan tengah hari, dan kata ini diambil daripada bahasa Iban,” ujar Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement