KUCHING, April 14: Senaskah kamus Melayu-Nippon lama yang telah diedarkan kepada penduduk bandaraya ini bagi belajar bahasa Jepun ketika perang dunia kedua menjadi antara barangan antik menarik ditemui di Karnival Darul Hana 2019 di perkarangan Masjid Darul Hana, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Kamus bahasa Melayu dan bahasa Jepun setebal 34 mukasurat dalam cetakkan pertama tersebut dikarang individu bernama M Abe dan dikeluarkan Kuching Gunseibu serta dicetak Kuching Insatu-kyoku.
Berdasarkan halaman perakuan kamus itu, individu bernama G Nakahata mendedahkan setelah tentera Jepun menakluki negeri dikuasai Amerika, Inggeris dan Belanda di Selatan Asia, penduduknya digalakkan belajar bahasa Jepun.
Maka beliau melihat kamus terbabit yang dikarang M Abe adalah amat membantu penduduk tempatan yang mahu belajar bahasa Jepun.
Kamus terbabit adalah milik Ismail Mahli, 76, dari Kampung Surabaya Ulu dan beliau mewarisi buku itu dari datuknya, allahyarham Taha Idris yang telah meninggal sekitar 20 tahun dahulu.
“Kamus ini dikeluarkan sekitar tahun 1941 hingga 1943 ketika bandaraya ini sudah ditakluki tentera Jepun. Saya belum lahir ketika itu dan kamus sebelum ini milik datuk saya. Bila datuk saya sudah meninggal, saya telah menemuinya dalam almari dalam rumah lama sebelum dirobohkan,” katanya.
Ismail berkata beliau kemudian menyimpan kamus itu dengan baik selama ini dan tidak cuba menjualnya kerana tahu suatu hari nanti ianya akan menjadi harta berharga yang boleh dipamerkan kepada orang ramai di muzium.
Sehubungan itu, beliau bercadang meminjamkan kamus terbabit kepada pihak Jabatan Muzium Sarawak bagi dipamerkan di Muzium Warisan Darul Hana yang dijangka siap tiga tahun lagi.
Sementara itu, Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pihaknya akan mengadakan satu program membolehkan penduduk perkampungan Seberang Hilir di bandaraya ini menjual, menyewa atau sedekahkan barangan antik atau dokumen lama milik mereka kepada Jabatan Muzium Sarawak sekitar hujung tahun ini.
Katanya ketika program iti barangan antik dan dokumen lama tersebut akan dipamerkan di satu tempat khas dan pihak Jabatan Muzium Sarawak memilihnya bagi dipamerkan di Muzium Warisan Darul Hana yang akan mula dibina hujung tahun ini dan dijangka siap tiga tahun lagi.
“Barangan antik terbabit akan dikategorikan kepada tiga iaitu mereka (pemiliknya) yang mahu menjualnya dan akan dibeli muzium, kedua ialah yang mahu disedekahkan atau wakafkan kepada muzium tetapi nama mereka (pemilik) akan tertera pada barang itu dan ketiga yang mahu pinjamkan setahun atau dua tahun kepada muzium dengan ada bayaran sebagainya,” katanya ketika menghadiri majlis penutupan karnival itu. — DayakDaily