Kampung Bako dibangunkan mengikut model Darul Hana — Wan Junaidi

Wan Junaidi (kanan) bersama penduduk-penduduk di Majlis Kenduri Rakyat Kampung Bako hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Ogos: Kampung Bako yang merupakan salah satu penempatan terawal masyarakat melayu perlu dibangunkan dengan pelbagai kemudahan demi keselesaan penduduknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bakal dibangunkan mengikut acuan Skim Penempatan Semula Darul Hana.


“Hari Isnin ini saya akan berjumpa dengan Premier Sarawak untuk mencadangkan satu program penempatan semula yang mempunyai jangka masa tertentu untuk dilaksanakan.

“Kampung Bako ini mesti dibangunkan dan tidak boleh ditinggalkan,” katanya pada sidang media di Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Bako Hilir hari ini.

Menurut Wan Junaidi yang juga MP Santubong, program penempatan semula Kampung Bako melibatkan kerja-kerja menaiktaraf kemudahan infrastruktur yang sekaligus akan memberi nilai tambah kepada harta milik penduduknya.

Di Darul Hana katanya, kos pembangunan infrastruktur seperti kerja-kerja menembok tanah, perparitan, jalan raya, komunikasi, bekalan air dan elektrik, dewan serbaguna, surau dan sebagainya memberi nilai tambah kepada rumah.

Katanya, rumah yang berharga RM100,000 akan meningkat naik ke RM250,000.

“Ini sudah tentu akan menaikan status pemilik bumiputera dan saya yakin penduduk di sini bersetuju dengan cadangan program penempatan semula ini,” ujar beliau.

Berhubung tapak untuk penempatan semula Kampung Bako, Wan Junaidi berkata perkara tersebut telah dibincangkan dengan Jabatan Tanah Dan Survei.

Ujar beliau, satu tapak sesuai iaitu di laluan cadangan pembinaan Jalan Buntal Ke Bako telah dicadangkan bagi program tersebut.

“Pembinaan Jalan buntal ke Bako bermula pada 2 tahun lepas dengan proses pengambilan tanah dan bayaran pampasan, selepas itu ia akan dilaksanakan dengan cepat.

“Maknanya kita akan melihat perkara ini akan berlaku dalam tempoh 10 tahun ini iaitu dalam jangka masa Sarawak menuju negeri maju,” kata Wan Junaidi. — DayakDaily