Kalau tidak mencari upa lalis, tiadalah duit: Luahan Dayang Paren dari Long Daloh

Dayang membelah batang lalis untuk mendapatkan bahagian yang boleh dimakan.
Advertisement

TELANG USAN, 14 Mac: Alah bisa ketegal biasa, wanita warga emas berusia 70 tahun Dayang Paren dari Long Daloh cekal mencari upa lalis sebagai sumber pendapatan keluarga.

Kata Dayang yang berbangsa Penan, pekerjaan tersebut telah dilakukan beliau semenjak lebih 20 tahun yang lepas.

“Kalau tidak cari upa lalis, tiadalah duit,” katanya ketika ditemui di Pekan Kecil Long Bedian semalam.

Advertisement

Menurut Dayang, upa atau umbut lalis juga dikenali laleh banyak tumbuh di kawasan hutan sekitar Long Daloh dan proses mencarinya tidak mudah.

Ini disebabkan batang lalis adalah berduri tajam.

Menurut beliau, kebiasaannya mereka sekeluarga termasuk suami dan anak-anak akan masuk ke hutan untuk mencari lalis.

Namun ujarnya, mereka hanya keluar mencari lalis jika tiada kerja lain untuk dilakukan.

“Kita akan menghabiskan masa sehari, iaitu dari 7 pagi hingga 5 petang di dalam hutan mencari lalis.

“Dalam seminggu adalah tiga hari kita masuk hutan. Adalah lebih 80 batang lalis diperolehi sekali masuk hutan,” kata Dayang.

Dayang bersama upa lalis yang sudah dipisahkan dari kulit.

Selain itu katanya, kadang-kadang beliau mendapat tempahan khas untuk membekal upa laleh.

Dayang menjual upa lalis dengan harga RM10 seikat (10 batang).

Kebiasaannya beliau akan membawa sebanyak 10 hingga 15 batang upa untuk dijual.

Upa lalis rasanya agak pahit dan merupakan makanan asal masyarakat tempatan Sarawak.

“Upa lalis boleh dimasak goreng atau direbus bersama ikan bilis, ia sesuai untuk mereka yang ada darah tinggi,” ujar Dayang. — DayakDaily

Advertisement