Kakitangan pusat jagaan warga emas milik swasta digalak jalani ujian PCR

Fatimah ketika ditemui pemberita di Rumah Seri Kenangan Kuching hari ini.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Jun: Kakitangan pusat jagaan warga emas milik swasta digalakan menjalani ujian polymerase chain reaction (PCR) Covid-19, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurut Fatimah, prosedur operasi standard (SOP) bagi mana-mana pusat jagaan di bawah kementerian atau kerajaan menetapkan ujian tersebut wajib dibuat terhadap semua kakitangannya.

Advertisement

“Bagi pihak kementerian, ujian ini adalah diwajibkan dan kita mengalakan pusat jagaan milik swata juga melakukannya.

“Tetapi saringan harus dibuat setiap hari iaitu dari segi suhu badan dan simptom-simptom lain, pemakaian penutup muka adalah wajib.

“Kalau ada gejala seperti suhu badan naik, demam dan batuk, jangan datang kerja,” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke Rumah Seri Kenangan Kuching di Jalan Datuk Mohd Musa, hari ini.

Selain itu tambah Fatimah, kakitangan juga perlu mengisi borang deklarasi berhubung pergerakan mereka.

“Ini penting untuk mencegah kakitangan menjadi pembawa virus yang boleh menjangkiti warga emas dengan mudah,” ujar beliau.

Katanya lagi, SOP menetapkan bahawa pusat jagaan warga emas tidak menerima kunjungan orang luar, penghuninya tidak dibenarkan keluar, amalan penjarakan sosial dipatuhi, penyahkuman dilaksanakan, peralatan dan makanan adalah bersih.

Justeru Fatimah mahukan pematuhan kepada SOP bukan sahaja berlaku di institusi kebajikan seperti rumah jagaan warga emas, kanak-kanak, pusat pemulihan akhlak tetapi jua di pusat jagaan yang dikendalikan oleh NGO atau pihak swasta.

Berhubung Rumah Seri Kenangan Kuching itu, beliau berkata ujian dan saringan telah dilakukan terhadap semua kakitangannya pada Mei lepas dan keputusan adalah negatif.-DayakDaily

Advertisement