MIRI, 5 Jun: Dua kaki hisap syabu dan pecah rumah di sekitar bandar Miri hanya sempat menikmati hasil jualan curi kurang lima jam sebelum mereka dicekup polis pada petang Jumaat (4 Jun).
Suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pujut Corner di sini sekitar jam 2.30 petang.
Difahamkan, sebelum tangkapan, dua rakan sejenayah ini telah memecah masuk sebuah rumah di Jalan Heleconia Pujut 5D dan melarikan dua unit alat gerudi tangan jenama Bosch dengan anggaran nilai RM700.
Hasil siasatan lanjut, suspek telah menjual salah satu alatan gerudi tangan tersebut pada harga RM100.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Sabri Zainol, kedua-dua suspek berusia 28 dan 35 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Miri (JSJ) IPD susulan rakaman CCTV dari rumah mangsa di Pujut 5D.
“Mangsa juga ada membuat satu laporan polis mengenai insiden tersebut selepas mendapati alatan gerudi berkenaan didapati hilang dari rumahnya, ” ujar Sabri.
Semasa tangkapan, polis turut menemui beberapa barangan dipercayai hasil curi termasuk dua unit basikal.
Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai tiga hingga lima rekod jenayah lampau berhubung kes pecah rumah, dadah, mencuri dan menceroboh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily