Kaki pancing terkejut jumpa mayat hampir reput terapung

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 10: Keseronokan seorang lelaki memancing ikan terbantut apabila dia menemui mayat yang hampir reput di kawasan parit di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub di sini hari ini.

Mayat lelaki yang dikenal pasti sebagai Mohammad Isham Ibrahim, 28, dari Kampung Sageng, Simunjan ditemui kira-kira pukul 11 pagi.


Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat lelaki berkenaan daripada seorang kaki pancing.

Katanya, sejurus itu, pasukan bomba kemudian dimaklumkan untuk membantu mengangkat mayat mangsa.

“Pemeriksaan awal di lokasi mendapati mayat mangsa dalam keadaan terapung di dalam kawasan parit berkenaan.

“Lebih ngeri, mayat lelaki tersebut sudah hampir reput dan berbau sebelum diangkat oleh pasukan bomba,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dijalankan.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya lagi. — DayakDaily