Kaki curi diberkas dan dikompoun RM1,500 kerana langgar SOP PKP

Kelima-lima suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 7 Jun: Lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia bukan sahaja diberkas polis kerana disyaki mencuri, malah turut dikompoun sebanyak RM1,500 tiap seorang kerana melanggar prosedur operasi ‘standard’ (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Sabri Zainol, kesemua suspek dicekup di sebuah stor di Batu 5 Jalan Riam semalam sekitar jam 6.30 petang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Kesemua suspek disyaki terlibat dengan kes curi peralatan pengubahsuaian rumah di Batu 6 Jalan Riam pada 1 Jun yang lalu.

Turut ditemui semasa tangkapan, beberapa barangan dipercayai dicuri antaranya sebuah gergaji besi, perancah (scaffolding) bangunan dan bingkai tingkap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 447 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menceroboh. — DayakDaily