Kadar kemiskinan penduduk Sarawak dijangka naik bagi tahun ini

Fatimah (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan ketika Program Kembara Prihatin Negara 2020 dalam foto fail ini.
Advertisement

KUCHING, 5 Dis: Sarawak dijangka akan menyaksikan kenaikkan dari segi kadar kemiskinan penduduknya bagi tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ini disebabkan faktor pengunaan paras garis kemiskinan baharu bagi Sarawak sehingga RM2,131 dan juga faktor pandemik Covid-19.

“Ini perlu dibuat survei, tapi kita boleh anggarkan sekiranya kita mengunakan paras garis kemiskinan baharu iaitu daripada RM1,500 meningkat kepada RM2,131. Jadi kita jangka bahawa dari segi kadar kemiskinan memang akan naik,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada golongan miskin dan Orang Kelainan Upaya (OKU) ketika Program Kembara Prihatin Negara 2020 di Lorong 13, Jalan Chawan, di sini, hari ini.

Advertisement

Fatimah berkata demikian ketika diminta mengulas samada trend paras kemiskinan di Sarawak telah meningkat atau menurun dan juga jumlah peratusannya tahun ini.

“Selain daripada itu, kita tahu juga kita sekarang ini dilanda Covid-19, ramai orang yang terkesan, yang hilang pekerjaan, yang pendapatannya juga berkurangan dan ada yang memang tak ada pendapatan,” katanya.

Fatimah berkata bukan sahaja golongan OKU yang hilang pekerjaan dan pendapatan akibat Covid-19 malahan beliau dimaklumkan ada warga Sarawak yang bekerja sebagai pramugari juga hilang pekerjaan ketika ini.

Katanya faktor paras garis kemiskinan baharu dan faktor ramai hilang pekerjaan akibat Covid-19 memang akan meningkatkan kadar kemiskinan penduduk negeri ini tahun ini tetapi peratusan sebenar peningkatan itu perlu dilakukan kajian lebih teliti dan terperinci.

“Kerajaan negeri, kita memang menekankan tentang ‘data base’ dan ‘evidence base’, jadi dari situlah kita dapat buat perancangan yang lebih tepat dan kita bukan rasa-rasa, tapi kita lihat sendiri kemudian berdasarkan data,” katanya.

Katanya ini membolehkan dasar dan polisi serta perancangan program bagi membasmi kemiskinan penduduk negeri ini dan meningkatkan pendapatan serta membantu kumpulan yang memerlukan dapat dirancangkan pihaknya dengan baik. — DayakDaily

Advertisement