Penangguhan Para Sukma 2020, SOPMA 2020 beri ruang Sarawak perkasa atlet OKU

Fatimah (duduk, tengah) bergambar bersama perserta Bengkel Perancangan Strategi Para Sukma 2022 di Hotel Waterfront, Kuching.

KUCHING, 5 Dis: Penanguhan temasya Para Sukma 2020 dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2020 ke 2022 memberikan kelegaan kepada semua persatuan sukan orang kelainan upaya berkenaan isu keselamatan dan kesihatan susulan penularan Covid-19 pada ketika ini.

Ini kerana atlet daripada golongan terbabit merupakan antara kumpulan rentan yang mudah terdedah kepada risiko tinggi bahaya wabak tersebut.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penangguhan itu bagaimanapun bukan bermaksud persatuan dan atlet OKU boleh bertindak sambil lewa dalam asas latihan mereka.


Sebaliknya kata beliau, usaha perlu diperkukuh untuk mempertingkatkan prestasi atlet terlibat.

“Penanguhan temasya ini memberikan kita peluang untuk mencungkil dan membentuk atlet pelapis memandangkan akan lebih ramai atlet OKU kita akan di keluarkan pada temasya itu nanti kerana had umur atlet yang ditetapkan untuk bertanding.

“Pada masa ini (2022) juga, saya percaya para atlet OKU kita akan mendapat perlindungan dan mendapat suntikan vaksin apabila ia sudah tersedia pada ketika itu,” katanya pada Bengkel Perancangan Strategi Para Sukma 2022 di sini.

Fatimah berkata, persatuan sukan OKU disaran untuk melaksanakan program atau pertandingan setempat memandangkan konsep pertandingan berkemungkinan akan berubah seiring dengan norma baharu ketika ini.

Beliau berkata, pertandingan atau program seumpama ini secara tidak lansung akan memberikan keyakinan serta mempertingkatkan prestasi atlet OKU terlibat apabila berhadapan dengan pertandingan sebenar.

“Program atau pertandingan peringkat tempatan ini juga berupaya mendorong pencapaian lebih besar dan menyediakan atlet OKU kita untuk mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa seperti sukan Para ASEAN pada awal 2022 di Hanoi, Vietna dan ASIA Para games pada bulan Ogos 2022 di Hangzhou, China,” katanya. — DayakDaily