Kabong berpotensi sebagai bandar pelancongan – TPM Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof
Advertisement

KUCHING, 9 Nov: Daerah Kabong berpotensi untuk diketengahkan sebagai Bandar Pelancongan, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Katanya, lokasi dan dengan adanya tempat penginapan sedia ada boleh membantu merancakkan industri pelancongan.

Justeru Fadillah menyeru pengusaha-pengusaha pelancongan untuk mempraktikkan sistem tanpa tunai.

Advertisement

“Ini bagi membolehkan serta memudahkan para pelancong, baik tempatan mahupun dari luar negara.

“Mereka boleh menempah serta membuat transaksi pembayaran tempat penginapan atau sewaan kenderaan tanpa perlu menggunakan tunai,” kata Fadillah.

Beliau berkata demikian di Perlancaran Inisiatif Tanpa Tunai Bank Simpanan Nasional (BSN) di Pusat Penjaja Kabong hari ini.

Melalui pembayaran tanpa tunai tambah Fadillah, para pengunjung akan lebih selesa kerana urusan tempahan bilik mahupun pembelian produk makanan atau kraftangan di Kabong ini amat mudah, pantas dan selamat.

Pada masa yang sama beliau mengajak warga Kabong supaya menguasai kemahiran perbankan transaksi tanpa tunai.

“Mungkin pada mulanya, kita berasa janggal dengan kaedah sistem pembayaran yang menggunakan QR Code, online banking atau perbankan dalam talian.

“Di sinilah pentingnya usahasama pihak BSN dan pejabat daerah untuk mendidik serta mendedahkan warga Kabong tentang manfaat sistem tanpa tunai ini,” ujar Fadillah. — DayakDaily

Advertisement